KUALA LUMPUR: Proton Wira dan Toyota Hilux kekal sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dari segi jumlah pada tahun lalu, demikian mengikut Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM). Sementara itu, dari segi peratusan kekerapan kecurian iaitu nisbah jumlah kecurian kepada jumlah keseluruhan sesuatu model itu di atas jalan, Toyota Vellfire berada di kedudukan teratas, diikuti Mitsubishi Pajero.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan PIAM, kereta Proton kekal sebagai jenama yang paling banyak dilarikan tahun lalu, dengan 854 unit Proton Wira dicuri, susut sedikit berbanding 1,214 pada tahun sebelumnya.
Ia diikuti Toyota Hilux (624), Perodua Kancil (438), Proton Iswara (420) Proton Waja (352), Perodua Myvi (357), Proton Saga (253), Nissan Vanette (186), Proton Satria (174) dan Toyota Vios (152).
Dalam pada itu, dari segi peratus kekerapan, sebanyak 114 daripada 54,876 atau 0.21 peratus Toyota Vellfire dicuri pada tahun lalu, diikuti Mitsubishi Pajero (0.17 peratus); Toyota Hilux (0.15 peratus); Peugeot 508 (0.15 peratus); Proton Putra (0.15 peratus); Proton Perdana (0.14 peratus); Nissan Venette (0.13 peratus); Ssangyong Rexton (0.12 peratus); Proton Satria (0.11 peratus) dan Toyota Liteace (0.11 peratus).
Ketua Eksekutif PIAM, Mark Lim, berkata secara amnya industri insuran mencatat penurunan dari segi jumlah kes kecurian sebanyak 20 peratus pada tahun lalu berbanding 2015.
"Jumlah kenderaan dicuri bagi semua kelas pada 2016 adalah berjumlah 19,307, berkurangan daripada 24,154 pada 2015.
"PIAM amat menghargai usaha Polis Di Raja Malaysia (PDRM); kastam dan agensi penguatkuasaan lain atas komitmen dan usaha secara bersepadu dengan Vehicle Theft Reduction Council (VTREC).
"Industri juga bekerjasama rapat dengan Fraud Intelligence System (FIS) bagi membendung pemalsuan insurans di Malaysia," katanya.
FIS, tambahnya, adalah inisiatif industri dengan penyertaan syarikat insurans sebagai ahlinya. Sistem ini menggunakan data analitik untuk mengesan pemalsuan dalam pasaran.
"FIS akan dilaksanakan secara berperingkat dan disasarkan bermula pada suku ketiga tahun ini," katanya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/252518